RM74.9 juta untuk bekas polis
Laporan Meor Hisham Zulkifli, Faiza Zanudin dan Syed Azwan Syed Ali
2011/10/20
KUALA LUMPUR: Seramai 74,958 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang berkhidmat ketika zaman darurat sudah menerima bayaran sagu hati khas kerajaan berjumlah RM74.9 juta iaitu sejak 2003 hingga kini. Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, bagi anggota yang terkorban ketika zaman itu wang bayaran diserahkan kepada duda dan balu mereka.Kerajaan memperuntukkan RM1,000 secara one off kepada setiap orang bekas anggota polis atau waris yang terbabit. Bayaran khas itu sebagai tanda penghargaan dan mengenang jasa mereka dalam perjuangan melawan komunis ketika zaman darurat.Mereka ini wira yang tidak didendang, katanya menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) pada sidang Dewan Rakyat semalam.
Mohd Nasir ingin tahu sejauh mana kerajaan mengiktiraf dari segi pemberian pampasan dan pencen kepada pasukan keselamatan yang terkorban ketika menentang komunis seperti peristiwa Bukit Kepong.
Abu Seman berkata, 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah berkhidmat tersenarai sebagai penerima sagu hati itu.
Mereka ini bekas anggota Home Guard, Special Constabel, Extra Police Constable, Auxilliary Police, Women Auxilliary Police, Women Special Constabel, Border Scout dan Jungle Squad, katanya.
Abu Seman berkata, sebagai kerajaan yang prihatin pada rakyat, kerajaan sekali lagi memutuskan untuk memberi sumbangan sebanyak RM3,000 secara one off kepada setiap bekas anggota polis khas dan polis tambahan serta duda atau balu mereka menerusi Bajet 2012 baru-baru ini.
Katanya, selain daripada sagu hati itu, kerajaan juga memberikan bantuan kepada mereka melalui bantuan khairat kematian Tabung Amanah Warisan, bantuan perubatan, bantuan pembelian alat pergerakan dan anggota palsu, bantuan pelajaran dan bantuan bencana alam.
No comments:
Post a Comment